Khamis, 13 Disember 2012

...Ada tanjak

Catatan ini dipetik daripada akhbar Berita Harian bertarikh 12/12/12 slot Sastera:Mewah Bahasa - oleh Prof Madya Dr.Nor Hisham Osman.

Bob   :   Eh! Mir, kau tau tak?
Amir :   Apa?
Bob   :   Berita terkini...
Amir :   Kau tak bagi tau, macamana aku nak tau!
Bob   :   Pasal Zahid...
Amir :   Zahid? Kenapa dia? Sakit ke?
Bob   :   Tak!..bukan sakit, tapi berhenti kerja!
Amir :   Kena berhenti kerja? Kes apa? Kena tatatertib ke? Eh, aku tengok dia tu baik je, dedikasi, 
              intergriti, tak ponteng, bekerjasama! Kenapa boleh sampai kena pecat?
Bob   :   Bukan kena pecat, dia berhenti...
Amir :   Isyhh!! Sayangnya! Kenapa berhenti? Bukan senang dapat kerja kerajaan sekarang ni.
Bob   :   Sebab kerja kerajaan le dia kena berhenti.
Amir :   Hah?
Bob   :   Masuk politik, dia nak bertanding dalam pilihan raya ni nanti.
Amir :   Nak bertanding?
Bob   :   Ha'ah! Tu la yang kena letak jawatan. kakitangan kerajaan pengurusan dan profesional tak 
              boleh masuk calon.
Amir :   Ooo..nak jadi calon, dia memang tanjak pun!
Bob   :   Tanjak?
Amir :   Aaa...aku selalu juga dengar dia berucap, memang tanjak! Selama hari ni pun dia memang 
              suka buat kerja kebajikan dan masuk macam-macam persatuan. Rupa-rupanya politik pun 
              dia aktif. Sesuai sangat tu, ada tanjak!
Bob   :   Ye, ke? Tapi tak pernah pulak aku tengok...
Amir :   Tak pernah tengok?
Bob   :   Ha'ah...tak pernah tengok.
Amir :   Tengok apa?
Bob   :   Tanjaklah! Tak pernah aku tengok dia pakai tanjak. Cuma sekali aje dulu semasa dia
              bersanding. Tapi dah lama la...
Amir :    Memanglah! memang dia tak pakai tanjak. Orang sekarang mana ada pakai tanjak
               hari-hari, kecuali masa bersanding.   
Bob   :   Eh, tadi kau yang cakap dia pakai tanjak masa beri ucapan!
Amir :   Bila pulak aku ada cakap macam tu? Aku cakap tadi dia ada tanjak...
Bob   :   Hah, betul la tu, kau kata ada tanjak! Tapi aku tak pernah tengok dia pakai.
Amir :   Laa...bukan tanjak yang tu. Bukan yang pakai atas kepala tu...
Bob   :   Tanjak apa pula lagi?
Amir :   Ada ketokohan, ada gaya untuk jadi YB...tu le namanya ada tanjak.
Bob   :   Ooo...tu tanjak juga ke? Yang aku tau, tanjak ni yang pakai atas kepala tu aje. Hehehee...

Glosari : TANJAK - destar, tengkolok, ada ketokohan, cocok, padan, sesuai.

Isnin, 3 Disember 2012

MENJULANG BAHASA MELAYU, MEMARTABATKAN BANGSA

Program Pembudayaan Bahasa mampu memperkasa jati diri

“Penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama bersama-sama dengan bahasa etnik seperti Mandarin dan Tamil sebagai bahasa pengantar sampingan dipercayai dan diyakini dapat membentuk 1Semangat Kebangsaan dan 1Jati Diri Nasional, yang lebih menyeluruh sifatnya dalam kalangan rakyat Malaysia”

“Bahasa lambang negara, bahasa budaya kita, bahasa kebanggaan bangsa, buktikan taat setia…”

Demikian antara bait lagu yang jelas menggambarkan bahawa bahasa Melayu yang merupakan bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara adalah lambang jati diri setiap rakyat yang mengaku sebagai Anak Malaysia. Menerusi bahasa Melayu perpaduan antara kaum dapat dicapai dan perkara ini telah dibuktikan setelah tercetusnya peristiwa 13 Mei 1969.


Dalam erti kata lain, bahasa adalah satu-satunya entiti yang boleh digunakan untuk mencapai pelbagai tujuan dan antaranya bahasa boleh dijadikan wahana mengungkapkan sesuatu kebudayaan, penanda identiti sesebuah kelompok etnik dan kuasa untuk penyatuan politik sesebuah negara. Apatah lagi, negara Malaysia dikongsi bersama oleh masyarakat majmuk yang mempunyai bahasa dan budayanya yang tersendiri.

Namun, kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran baru-baru ini yang mengatakan bahawa bahasa Melayu kian terpinggir di bumi sendiri kerana sikap malu dan rendah diri masyarakat untuk bertutur menggunakan bahasa Melayu nyata menimbulkan polemik baharu.


Polemik terbaharu ini seolah-olah menggambarkan bahawa bahasa Melayu tidak ada kelas, bukan bahasa yang maju seperti bahasa Inggeris dan tidak boleh diangkat ke peringkat global. Kempen “Cintai Bahasa Kita”, “Bahasa Jiwa Bangsa”, “Bahasa Menunjukkan Bangsa” dan seumpamanya yang diadakan oleh kerajaan seperti tidak membawa sebarang impak yang diingini.

Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah, Tuan Zubaidi Abas ketika diminta mengulas kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, bukan orang Melayu atau masyarakat negara ini malu untuk bertutur bahasa Melayu tetapi mereka malu apabila dilihat tidak pandai berbahasa Inggeris. Ini kerana, mereka mahu dilihat sebagai orang bandar, moden dan terpelajar.

Tambah beliau, mengenai cadangan Muhyiddin untuk menganjurkan semua majlis rasmi negara di semua peringkat dalam bahasa Melayu boleh dilakukan tetapi tidak tercatat dalam Perlembagaan negara ini. Keadaan ini berbeza dengan negara Indonesia yang mewajibkan Presidennya bertutur dalam Bahasa Indonesia tidak kira di mana beliau berada.

Justeru, menyedari akan pentingnya mengangkat bahasa Melayu di mata dunia, maka Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan mengadakan Program Pembudayaan Bahasa yang dilancarkan baharu-baharu ini. Program ini yang antara lainnya bertujuan memastikan tahap penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa negara berlaku dalam kuantiti yang banyak dan kualiti yang baik tidak kira dalam sektor awam mahupun swasta dilihat sebagai satu langkah tepat dan kena pada masanya.

Bagi Zubaidi pula, usaha mengangkat bahasa Melayu ini adalah murni tetapi kejayaan langkah ini bergantung kepada iltizam politik iaitu harus disusuli dengan tindakan yang jitu dan bukan sekadar cakap kosong sahaja.

Sumber : Berita Harian & Dewan Bahasa dan Pustaka.

Mengapa murid harus menghormati guru?


Guru oh guru...


Lagu Terima Kasih Malaysia

video
Semoga kita sentiasa bersyukur dengan nikmat kurniaan Ilahi.

Ahad, 2 Disember 2012

Kesilapan Penggunaan Kata Hubung

Kekeliruan penggunaan kata hubung 'tetapi' dan 'malahan' Kata hubung 'tetapi' digunakan untuk membandingkan dua keadaan bertentang sifat. Kata Hubung 'malahan' untuk membandingkan dua keadaan yang setara sifatnya. Contoh ayat yang salah dan betul : i) Jutawan itu kaya malahan kedekut ( salah ) ii) Jutawan itu kaya tetapi kedekut. i) Zaif bukan sahaja baik tetapi pintar. ( salah ) ii) Zaif bukan sahaja baik malahan pintar.

Selasa, 23 Oktober 2012

Penggunaan CD interaktif Bahasa Melayu. Akibat daripada kekurangan komputer, guru terpaksa membuat sistem stesen/ giliran serta berkumpulan. Kelemahannya, ada dalam kalangan murid yang tidak dapat menggunakan komputer dan hanya membantu rakan menjawab soalan interaktif. Di stesen lain, murid menjalani aktiviti dengan menyiapkan lembaran kerja.

Sabtu, 20 Oktober 2012

Kata Banyak Makna

Soalan 21-22
Pilih ayat-ayat yang menggunakan perkataan bergaris dengan betul.

21.  I.   Jangan bermain di kawasan lapang ketika hujan lebat.
      II.   Biliknya menjadi lapang setelah almari besar itu dikeluarkan.
     III.   Khairul telah terlibat dalam lapang bola sepak sejak kecil lagi.
     IV.   Fikirannya lapang setelah masalah yang dihadapinya telah selesai.

       A.  I, II dan III                                C.  I, III dan IV
       B.  I, II dan IV                                D.  II, III dan IV

   Makna perkataan lapang menurut Kamus Dewan Edisi Keempat:-
     
   lapang I   - 1. tidak sempit, lega, luas (kawasan dll)
                     2. terluang ( waktu dll), tidak sibuk, senggang
                     3. kawasan (yg luas), tapak(tempat) mendirikan atau mengadakan 
                         sesuatu,berasa senang dan lega
  lapang II  - sj tumbuhan (pokok memanjat), akar jambul merak, daup-daup, dedaup, 
                     Bauhinia comifolia.

       Rasional jawapan :                        
  • Pilihan ayat I adalah betul penggunaan perkataan lapang yang membawa maksud luas.
  • Pilihan ayat II juga menepati makna lapang yang membawa maksud tidak sempit dan luas.
  • Pilihan ayat III tidak menepati makna lapang kerana perkataan lapang di situ perlu digantikan dengan perkataan lapangan yang membawa maksud bidang (pengetahuan,kegiatan,pekerjaan dll)
  • Pilihan ayat IV adalah menepati makna perkataan lapang iaitu berasa senang dan lega.
           JAWAPAN BETUL :  B. I, II dan IV.


22.   I.   Buah ciku yang masih muda itu rasanya kesat.
       II.  Ayah sedang melicinkan permukaan kayu yang kesat itu.
      III.  Air yang tertumpah itu telah saya kesat menggunakan kain.
       IV.  Ikram ditegur oleh bapanya kerana menggunakan bahasa yang kesat.

       A.   I, II dan III                             C.  I, III dan IV
       B.   I, II dan IV                             D.  II, III dan IV

       
      Cuba jawab soalan di atas. Apakah jawapan anda? Tinggalkan jawapan anda di ruangan komen. Terima kasih.

Jumaat, 19 Oktober 2012

Persediaan untuk PKSR2 29 Oktober 2012.

Latihan membina 5 ayat berdasarkan gambar untuk kelas 5 Bestari. Buku teks Bahasa Melayu Tahun 5, halaman 196.

Rabu, 17 Oktober 2012

Assalamualaikum dan Salam 1 Malaysia.

Syukur ke hadrat Ilahi kerana dengan izinNya dapat juga saya mencipta blog milik saya. InsyaAllah, akan saya usahakan bahan-bahan menarik untuk dipaparkan buat tatapan semua. Serangkap pantun yang sempat saya karang sebentar tadi..
                                          
                                          Indah pandangan di Kuala Gula,
                                                    Singgahan burung pelbagai rupa,
                                          Blog bahasa perluku mula,
                                                    Berikan komen jangan dilupa.