Isnin, 3 Disember 2012

MENJULANG BAHASA MELAYU, MEMARTABATKAN BANGSA

Program Pembudayaan Bahasa mampu memperkasa jati diri

“Penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama bersama-sama dengan bahasa etnik seperti Mandarin dan Tamil sebagai bahasa pengantar sampingan dipercayai dan diyakini dapat membentuk 1Semangat Kebangsaan dan 1Jati Diri Nasional, yang lebih menyeluruh sifatnya dalam kalangan rakyat Malaysia”

“Bahasa lambang negara, bahasa budaya kita, bahasa kebanggaan bangsa, buktikan taat setia…”

Demikian antara bait lagu yang jelas menggambarkan bahawa bahasa Melayu yang merupakan bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara adalah lambang jati diri setiap rakyat yang mengaku sebagai Anak Malaysia. Menerusi bahasa Melayu perpaduan antara kaum dapat dicapai dan perkara ini telah dibuktikan setelah tercetusnya peristiwa 13 Mei 1969.


Dalam erti kata lain, bahasa adalah satu-satunya entiti yang boleh digunakan untuk mencapai pelbagai tujuan dan antaranya bahasa boleh dijadikan wahana mengungkapkan sesuatu kebudayaan, penanda identiti sesebuah kelompok etnik dan kuasa untuk penyatuan politik sesebuah negara. Apatah lagi, negara Malaysia dikongsi bersama oleh masyarakat majmuk yang mempunyai bahasa dan budayanya yang tersendiri.

Namun, kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran baru-baru ini yang mengatakan bahawa bahasa Melayu kian terpinggir di bumi sendiri kerana sikap malu dan rendah diri masyarakat untuk bertutur menggunakan bahasa Melayu nyata menimbulkan polemik baharu.


Polemik terbaharu ini seolah-olah menggambarkan bahawa bahasa Melayu tidak ada kelas, bukan bahasa yang maju seperti bahasa Inggeris dan tidak boleh diangkat ke peringkat global. Kempen “Cintai Bahasa Kita”, “Bahasa Jiwa Bangsa”, “Bahasa Menunjukkan Bangsa” dan seumpamanya yang diadakan oleh kerajaan seperti tidak membawa sebarang impak yang diingini.

Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah, Tuan Zubaidi Abas ketika diminta mengulas kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, bukan orang Melayu atau masyarakat negara ini malu untuk bertutur bahasa Melayu tetapi mereka malu apabila dilihat tidak pandai berbahasa Inggeris. Ini kerana, mereka mahu dilihat sebagai orang bandar, moden dan terpelajar.

Tambah beliau, mengenai cadangan Muhyiddin untuk menganjurkan semua majlis rasmi negara di semua peringkat dalam bahasa Melayu boleh dilakukan tetapi tidak tercatat dalam Perlembagaan negara ini. Keadaan ini berbeza dengan negara Indonesia yang mewajibkan Presidennya bertutur dalam Bahasa Indonesia tidak kira di mana beliau berada.

Justeru, menyedari akan pentingnya mengangkat bahasa Melayu di mata dunia, maka Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan mengadakan Program Pembudayaan Bahasa yang dilancarkan baharu-baharu ini. Program ini yang antara lainnya bertujuan memastikan tahap penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa negara berlaku dalam kuantiti yang banyak dan kualiti yang baik tidak kira dalam sektor awam mahupun swasta dilihat sebagai satu langkah tepat dan kena pada masanya.

Bagi Zubaidi pula, usaha mengangkat bahasa Melayu ini adalah murni tetapi kejayaan langkah ini bergantung kepada iltizam politik iaitu harus disusuli dengan tindakan yang jitu dan bukan sekadar cakap kosong sahaja.

Sumber : Berita Harian & Dewan Bahasa dan Pustaka.

2 ulasan: